Haziq berkonvo

Saya memang selalu lambat update cerita. Takpela, janji update jugak. Hari konvo tadika Haziq ialah pada 22 Nov 2009. Bertempat di Kelab Saujana Utama, acara penyampaian hadiah dan sijil untuk Tadika Pristana Gemilang atau nama asalnya Q-Gemilang berlangsung.
Kanak-kanak dan ibu bapa awal-awal lagi dah berkumpul di situ. Saya datang agak lewat sikit kerana terlewat bangun hehe..nasib baik acara belum bermula dan masih ada lagi ibu bapa yang belum sampai. Majlis bermula dengan ucapan dari Pengetua Tadika diikuti dengan pelbagai acara persembahan kanak-kanak seperti tarian Cindai, bacaan puisi Inggeris (Haziq kena baca), dikir barat (Haziq masuk), pertunjukan fesyen, bacaan pantun, menyanyi dan banyak lagi. Cikgu-cikgu kelihatan kelam-kabut mengatur kanak-kanak di atas pentas.
Kemudian acara yang ditunggu-tunggu iaitu penyampaian hadiah dan sijil. Kanak-kanak beratur dengan memakai jubah konvo warna ungu muda..sungguh comel..

Ulangtahun perkahwinan ke-7

6 Julai 2002 adalah tarikh bermakna dalam hidup saya apabila saya sah menjadi seorang isteri. Oleh itu setiap tahun kami tak lupa menyambutnya. Saya masih ingat lagi pada tahun pertama sambutan ulangtahun perkahwinan kami, mak mertua menghadiahkan seutas gelang tangan emas buat saya. Pada hari itu juga ialah hari ke-43 saya berpantang selepas melahirkan Haziq dan sedang cuti bersalin di rumah mertua di Shah Alam. Suami membelikan kek coklat kegemaran saya. Mama & ayah yang kebetulan datang ke Shah Alam turut sama meraikan ulangtahun pertama perkahwinan kami yg dibuat secara kecil-kecilan itu. Gambar di atas sempat dirakam oleh ahli keluarga kami. Nasib baik tak nampak bahagian kaki, sebab pada masa ini saya masih memakai stokin kerana masih dalam waktu berpantang. Kek coklat pun saya hanya sekadar menjamah. Untuk pengetahuan semua, saya memang seorang yang masih berpegang kepada petua orang2 tua. Apa juga pesanan mama, nenek (sebelah mama) & wan (sebelah ayah) sewaktu berpantang, semuanya saya patuhi tanpa melawan.
Berbalik pada sambutan ulangtahun perkahwinan, tahun-tahun berikutnya kami hanya menyambutnya sendiri tanpa melibatkan keluarga. Kami hanya membeli kek yg comel, pasang lilin, tiup, ambil gambar, potong & makan sendiri. Lebih seronok jika kami berpeluang ke tempat2 percutian selain di rumah sendiri. Apapun, dimana2 saja sambutannya, saya tetap gembira & bersyukur kerana rumahtangga kami bahagia.
Gambar2 dibawah menggambarkan kegembiraan kami ketika sambutan ulangtahun perkahwinan kami yg ke-7 pada Julai 2009 di sekitar Cameron Highlands.












Pada minggu tersebut juga, sepupu saya Dalina melangsungkan pertunangannya di Melaka. Saya tidak dapat hadir kerana telah merancang percutian/sambutan ulangtahun ini terlebih dahulu. Insya Allah, waktu perkahwinan mereka saya akan pastikan kami sekeluarga hadir. Semestinya!
Semoga ikatan perkahwinan kami kekal hingga ke akhir hayat. Semoga pertunangan Dalina juga berpanjangan hingga ke jinjang pelamin. Amin..

Majlis Perkahwinan Diyana

Belumpun setahun Bibik & Pakbik menerima menantu, Diyana pula mengikut jejak kakaknya, Wa, menaiki pelamin. Sila imbas entry saya Wedding di Melaka. Tarikh 21 Jun 09 yg lalu merupakan hari pernikahan Diyana, sepupu saya, bertempat di rumah keluarganya di Durian Tunggal, Melaka. Kali ini saya tidak dapat balik ke Melaka lebih awal kerana tuntutan kerja menyekat saya mengambil cuti, lebih-lebih lagi di waktu berhampiran dengan hari gaji.

Saya sampai di rumah Bibik lebih kurang jam 3.30ptg. Terdapat sedikit kesesakan di simpang masuk ke Durian Tunggal kerana pada hari yg sama juga telah diadakan Perlawanan Cup Prix anjuran Petronas di situ. Dan ini jugalah penyebab saya tidak dapat booking hotel berhampiran rumah Bibik iaitu di sekitar Ayer Keroh kerana kebanyakan hotel telah fully-book.

Saya tidak banyak membantu kali ini, mungkin kerana kebanyakan kerja-kerja dapur telahpun dibuat secara gotong-royong oleh segelintir saudara-mara yg telah pulang seawal hari Jumaat. Mama juga telah pulang awal untuk membantu adiknya (Bibik) dari segi memasak makanan, memberi nasihat, pandangan dan sebagainya.
Sebelah malam selepas Isyak, majlis pernikahan bermula. Dengan 2 kali lafaz, Diyana telah sah menjadi isteri kepada Nazrin. Selepas bergambar kenangan bersama keluarga, pengantin menyalin pakaian untuk acara bertandu pula. Saya difahamkan keluarga sebelah pihak lelaki yg menginginkan acara tersebut diadakan. Pengantin bertandu diiringi dengan paluan kompang dan percikan bunga api. Saya dapat merasakan situasi itu sungguh meriah sekali.
Keesokan harinya, majlis persandingan diadakan di Dewan MITC, Ayer Keroh. Sanak-saudara mengenakan pakaian serba merah, mengikut warna tema yg ditetapkan. Pengantin juga kelihatan berseri dengan persalinan merah menyala. Setelah bersanding, bergambar dan makan beradab, pengantin menukar pakaian ke persalinan moden berwarna hitam untuk acara memotong kek dan pemberian hadiah kepada saudara-mara yg membantu menjayakan majlis persandingan ini. Majlis kali ini berjalan dengan lebih baik. Bukan pula saya nak katakan majlis terdahulu tidak sempurna. Lumrah manusia, sentiasa melakukan kesilapan. Kita juga perlu belajar dari kesilapan tersebut, jangan biarkan ianya berulang kembali. Fakta ini juga saya jadikan pengajaran buat diri saya sendiri dalam menjalani kehidupan berkeluarga.

Seminggu selepas itu, pada 28 Jun 09 bersamaan harijadi abang saya Bang Mi yg ke-34thn, kami pergi menghantar pengantin di rumah pihak lelaki di Taman Melawati. Pengantin mengenakan persalinan merah jambu, warna yg agak lembut dari warna minggu lepas. Yg paling seronok, saya berpeluang makan di meja utama bersama pengantin..yey!! Pastinya lauk pauk lebih istimewa berbanding meja biasa, betul tak? Hahahaha..

Selamat Pengantin Baru buat Diyana & Nazrin. Semoga jodoh berpanjangan hingga ke akhir hayat. Lepas ni kami menunggu kenduri di rumah Maklong untuk majlis pertunangan Dalina pada awal Julai 2009 dan tak lupa juga jemputan Mak Uda untuk pertunangan Sabarina, dengar kata bulan September 2009. Insya Allah kami akan hadir..