Perginya PakNgah

Hari ini, pada jam 3.30pagi, 25 Disember 2008 PakNgah Shamsudin telah pulang ke rahmatullah. Al-fatihah kepada arwah PakNgah...

Patutlah malam tadi saya berasa macam ade sesuatu akan terjadi. Sejak pulang dari melawat PakNgah di Wad ICU Klinik Urologi & Neorologi HKL tengahari semalam, saya macam biasa, buat kerja ofis, ambil Haziq dari taska, pergi pasar malam, makan malam, tengok cerita kegemaran di TV3, tetapi apabila nak tidur, saya gelisah. Sampai pukul 1.30pagi, apabila husband pulang dari meeting rukun tetangga kawasan rumah kami, baru saya boleh melelapkan mata. Saya sangkakan kegelisahan saya akibat memikirkan kawasan rumah kami sering dimasuki pencuri sejak akhir-akhir ini ditambah lagi husband yang selalu bermeeting lewat malam membuatkan saya berasa takut tinggal berdua dengan Haziq.

Rupa-rupanya ada sesuatu yg terjadi. Ketika saya mula terlelap, mungkin di Wad ICU HKL PakNgah sedang melalui saat-saat akhir dalam hidupnya. Mungkin diwaktu itu, keadaan menjadi cemas apabila doktor telah memanggil kesemua ahli keluarga PakNgah masuk kedalam wad untuk diajar 2 kalimah syahadah. Dan apabila doktor mengatakan mereka terpaksa menutup semua mesin bantuan yang digunakan ke atas badan PakNgah, semua ahli keluarga terpaksa akur. Namun semua ini kehendak Allah. Dari Dia kita datang kepada Dia juga kita kembali. PakNgah pergi dengan mudah, dengan wajah yang bersih, pada cuaca yang redup, membuatkan segala urusan pengkebumian berjalan cukup teratur.

Walaupun jarang bertemu PakNgah, namun pemergiannya tetap dirasai. Kali terakhir saya bertemu PakNgah ialah pada Aidilfitri yang lalu ketika saya mengunjungi rumahnya di Selayang. Saya masih ingat lagi dimana PakNgah walaupun tak berapa sihat ketika itu, sanggup turun dari tingkat atas rumahnya perlahan-lahan untuk melayan kami. PakNgah seorang yang pendiam tetapi apa yang saya bualkan dia akan memberi perhatian dengan memandang ke muka saya sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Juga ingatan saya berlegar lagi pada November tahun lepas, apabila saya menziarahinya ketika dapat tahu dia terlibat dengan kemalangan kereta. Ketika itu mama & ayah menunaikan fardu haji di Mekah dan PakNgah tak dapat menghantar mereka di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya seperti yang dijanjikan sebelum itu. Akibat kemalangan itu, PakNgah mengalami luka2 di tangan & kaki, lebam-lebam di badan dan terpaksa menerima jahitan di bahagian atas kepala akibat terkena serpihan kaca cermin kereta. PakNgah tetap bercerita situasi kemalangan itu dengan kami, walaupun diwaktu itu dia perlu lebih banyak rehat.

Mungkin kesedihan saya tidaklah seteruk kesedihan MakNgah dan anak-anak mereka iaitu Kak Era, Abg Boy, Didi & Siti yang juga merupakan sepupu-sepupu saya. Saya mendoakan agar roh PakNgah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Semoga Allah mencucuri rahmatnya. Al-fatihah..

Pengorbanan di Aidil Adha 2008

Apabila sesebuah institusi keluarga telah terbina, saya percaya banyak pengorbanan perlu dilakukan. Tak kira dari segi wang ringgit, masa, tenaga, kehendak diri, perasaan dan sebagainya, tidak banyak sedikit ia tetap sebuah PENGORBANAN.

Cuba tanya diri sendiri, berapa banyak kita telah berkorban sejak kita mendirikan rumahtangga? Namun pada saya, itu adalah sesuatu yg positif sekiranya kita berkorban demi untuk menggembirakan hati orang-orang yang tersayang dalam keluarga kita. Saya juga percaya - bersolat, berdoa dan bertawakal, adalah jalan terbaik untuk memohon petunjuk dari yg Maha Esa.

Semakin lama usia perkahwinan kita, semakin kita mengenali tabiat dan perangai pasangan kita. Dalam melalui proses suaikenal tersebut, mungkin ada di antara kita yg terpaksa mengenepikan sesuatu perkara demi menjaga hati pasangan. Namun ia hendaklah dilakukan tanpa melukakan hati sesetengah pihak contohnya ibubapa atau adik-beradik yg telah hidup bersama-sama kita sejak sebelum kita berkahwin dengan pasangan kita.


Sebaiknya, kita berbuat baik dengan semua pihak ; suami/isteri, ibu, bapa dan adik-beradik. Tapi sebagai manusia, kita tak lari dari melakukan kesilapan. Dan jika ia terjadi, memohon kemaafan adalah jalan terbaik. Saya teringat nasihat dari seorang kawan baik yg bukan berbangsa Melayu, "Sorry is the most powerful word, it may change everything" ketika itu saya sedang berselisih faham dengan suami. Ia mengambil masa yg lama untuk saya meminta maaf daripadanya kerana saya ego, namun setelah saya memohon maaf dengan seikhlas hati, saya tak sangka penerimaannya begitu baik dan keadaan kembali normal malah hubungan kami semakin mesra.


Aidil Adha 2008 telah berlalu, menyaksikan pelbagai acara korban dan ibadat haji. Dan seperti orang lain, saya pulang ke kampung saya di Seremban untuk berhari raya dengan kedua orang tua saya setelah tidak dapat beraya bersama-sama mereka pada Aidil Adha 2007 kerana mereka berada di Mekah menunaikan fardu haji. Juga saya tidak berada disamping mereka pada pagi Aidilfitri 2008 kerana tahun ini ialah giliran untuk beraya dengan keluarga suami di Shah Alam.


Walaupun terkilan kerana tiada layanan seorang mama pada Aidil Adha kali ini, sekurang-kurangnya berada disamping ayah, suami, anak dan adik-beradik cukup membahagiakan saya. Saya bersyukur kerana masih mempunyai mama & ayah untuk memberi tunjuk ajar dan nasihat dalam melayari kehidupan berkeluarga. Mungkin di luar sana terdapat pihak-pihak yg cemburu dengan kebahagiaan keluarga kami, namun semua itu adalah kuasa Tuhan dan saya tetap percaya kepada pembalasan dari Allah s.w.t

Aquaria KLCC

Pada 23/11/2008, kami pergi jalan2 ke Aquaria, KLCC. Sejak cuti sekolah bermula, saye belum sempat membawa Haziq kemana-mana. Di Aquaria, sekurang-kurangnye Haziq dapat mengenali ikan-ikan & binatang-binatang lain yg dipamerkan. Saye & hubby pun tak pernah lagi ke sana. Harga tiket masuk ialah RM28 untuk dewasa dan RM22 untuk kanak2 berumur 3-12thn.
Sila lah melayan gambar-gambar yg dapat saya rakamkan!!
Sebenarnya banyak lagi gambar-gambar yg saya ambil, tapi kebanyakannya tak menjadi disebabkan flash kamera tidak dibenarkan, mungkin untuk mengelak binatang2 tersebut bertindak liar. Pada mulanya saye tidak mempedulikan arahan tersebut kerana saya melihat kebanyakan pengunjung-pengunjung selamba saja menggunakan flash. Namun setelah ditegur oleh pekerja Aquaria, saya pun terpaksa matikan penggunaan flash untuk gambar2 tertentu.