Program Gotong-Royong SBCR Saujana Utama


Ahad lepas, 15 Februari 2009 pihak AJK Pro-Tem di kawasan perumahan tempat tinggal saya Sg Buloh Country Resort (SBCR) Saujana Utama telah mengadakan Program Gotong-Royong & Suai Kenal dikalangan penghuni-penghuni SBCR. Program dimulakan seawal 7 pagi dimana kaum-kaum lelaki bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar tempat tinggal kami. Manakala kaum wanita pula memulakan acara memasak di rumah salah seorang penduduk SBCR, Mejar Hashim dan Puan Aina.
Pukul 11 pagi semua penghuni diminta berkumpul di khemah yg disediakan oleh pihak Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) di hadapan rumah Mejar Hashim. Pengerusi SBCR En. Jamaludin memulakan ucapan alu-aluan dan terima kasih. Kemudian diteruskan dengan pemilihan AJK baru untuk Jawatankuasa Persatuan Penduduk SBCR. Suasana riuh seketika apabila semua menyokong untuk mengekalkan AJK Pro-Tem yang sedia ada. Juga turut diumumkan pemilihan Puan Aina sebagai Wakil Biro Hawa dan juga 2 orang Pemeriksa Kira-Kira yang saya tak ingat nama mereka.


Aktiviti ini bertujuan supaya dapat memupuk suasana mesra di antara sesama jiran dan juga memberi peluang untuk berkenalan antara satu sama lain. Bak kata kebanyakan jiran-jiran saya “kalau takde program macam ni, entah-entah jumpe kat kedai berselisih bahu pun tak kenal”. Saya turut akui kebenaran kata-kata tersebut. Saya turut berpeluang berkenalan dengan beberapa orang jiran di deretan rumah saya dan deretan belakang rumah. Kami berborak-borak hal-hal wanita, anak, keluarga dan kebanyakan perbualan adalah tentang program rotong-royong tersebut.

Pihak AJK Pro-Tem turut mengaturkan sesi pendaftaran talian tetap TM & Streamyx dengan pihak TM Selangor pada hari tersebut. Pendaftaran terbuka tersebut memudahkan penduduk melakukan pendaftaran perkhidmatan talian tetap dan Streamyx untuk kediaman dan perniagaan. Apa yang dapat saya lihat, sambutan dari komuniti SBCR amat menggalakkan. Ini menunjukkan betapa perlunya kemudahan internet pada zaman siber ini.