
Penghujung April yang lalu, kami 3 beranak berpeluang pergi bercuti ke bumi kenyalang, Sarawak. Ini adalah pengalaman pertama kami menjejakkan kaki di Kepulauan Borneo.


Kami tiba di Kuching International Airport (KIA) pada jam 10.35 pagi dan terus menaiki teksi ke Hotel Grand Margherita yang dahulunya dikenali sebagai Hotel Holiday Inn. Tambang teksi dari KIA ke hotel ini sebanyak RM22. Pemandu teksi yg berketurunan Cina sungguh ramah melayan kami berbual-bual. Dia juga tidak henti-henti memberi penerangan tentang keadaan di sekitar bandar Kuching. Setibanya kami di hotel, kami berehat seketika sebelum keluar menikmati makan tengahari di Plaza Tun Jugah.


Di Plaza Tun Jugah, kami ke Food Court nya yg terletak di tingkat 3. Seperti yang diberitahu oleh kawan-kawan saya yg pernah ke Sarawak, kalau pergi ke Kuching tak sah kalau tak merasa Mee Kolok. Saya pun terus order Mee Kolok Goreng seperti gambar di bawah. Rasanya lebih kurang seperti maggie goreng mamak, cuma Mee Kolok digoreng dengan hirisan-hirisan daging bukannya ayam, udang atau sotong.

Bersebelahan dengan hotel penginapan kami ialah pusat membeli-belah Sarawak Plaza. Kami hanya singgah di situ untuk menikmati makan malam di Restoran KFC.

Hari kedua kami menyewa kereta Proton Wira dengan bayaran RM150 untuk tempoh 1 setengah hari kerana kami dikehendaki memulangkan kereta tersebut pada tengahari keesokannya. Tempat pertama yg kami tuju ialah ke Kampung Budaya Sarawak yang terletak di Kg Santubong, di kaki Gunung Santubong.



Kami hanya bergambar sahaja di pintu masuk Kampung Budaya tersebut kerana bayaran masuk ialah RM60 seorang, bagi kami ianya mahal sangat. Walau bagaimanapun kami berpuas hati kerana berjaya sampai ke tempat itu setelah tersesat sedikit pada mulanya.


Kami singgah sebentar di bangunan Muzium Kuching dan menikmati pemandangan bandar Kuching dari atas bukit di mana terletaknya bangunan tersebut. Selepas itu, kami singgah di pasar di Jalan Satok, yg lebih dikenali dengan panggilan Pasar Satok tetapi oleh kerana waktu itu sudah petang, kebanyakan peniaga-peniaga telah mula berkemas-kemas untuk pulang. Mungkin saya menerima info yg salah dari pihak hotel kerana mereka memberitahu saya pasar tersebut dibuka dari tengahari hingga petang, pada hari Ahad sahaja. Namun kami sempat membeli sedikit cenderahati seperti pen, key-chain & fridge magnet di sebuah gerai yg juga sedang berkemas-kemas untuk pulang.
Akibat terlalu seronok berjalan, hanya pukul 3ptg kami makan tengahari di Restoran Khatulistiwa, yg berada di tepi Sg. Sarawak. Cuaca yg sangat panas di Kuching membuatkan kami cepat letih dan kehausan. Kami pulang ke hotel sebentar untuk mandi dan setelah berehat seketika, kami ke jeti untuk menaiki bot menyeberangi Sg. Sarawak.
Di seberang Sg. Sarawak ini terdapat banyak perkampungan dimana kebanyakannya adalah orang Melayu. Setelah melewati Kg. Boyan dengan berjalan kaki, kami akhirnya sampai ke Kg. Gersik dimana terletaknya kedai Kek Lapis Dayang Salhah yg cukup terkenal di sini dan juga Semenanjung Malaysia. Ia merupakan sebuah rumah yg telah diubahsuai menjadi sebuah kilang membuat kek lapis. Kami diberi layanan yg baik dan juga berpeluang merasa kek-kek mereka sebanyak mana yg kami suka seperti gambar di bawah. 
Atas kiriman kawan-kawan saya dan untuk dijadikan buah tangan untuk keluarga, saya telah berbelanja lebih kurang RM200 untuk membeli kek lapis ini. Bermacam-macam jenis kek lapis terdapat di sini hingga membuatkan saya susah membuat pilihan.
Saya teringat pesanan seorang kawan pejabat, Zulaiha, yg menyuruh saya merasa masakan seafood di Top Spot Food Court kerana tempat itu memang terkenal dengan masakan seafood yg sedap dan masih segar. Saya pun mengajak suami ke Taman Kereta dimana terletaknya Top Spot Food Court tersebut. Kami hanya mengorder 3 jenis lauk kerana tengahari tadi kami telah makan agak lewat jadi kekenyangan masih terasa. Kata Zulaiha memang betul, masakannya sungguh berlainan dan ikan serta udangnya memang fresh. Rasanya di Semenanjung belum ada kedai makan yg saya jumpa masakan seafoodnya sesedap di sini.
Bawal Goreng Sos Mangga

Ini pula sayur kegemaran orang Sarawak iaitu Midin Goreng Belacan

Butterprawn - kegemaran saya

Hari ketiga, hari untuk berangkat pulang. Flight kami pukul 3.20ptg. Sebelah pagi, setelah bersarapan di hotel, kami berjalan-jalan di tepi Sg. Sarawak dan singgah di Kuching Waterfront Bazaar membeli cenderahati tambahan dan juga ikan terubuk masin untuk diberikan kepada kedua-dua orang tua kami.
Haziq di tepi sebuah feri yg berlabuh di Sg. Sarawak

Kami merayau-rayau lagi di sekitar bandar Kuching dan mengambil gambar sebagai kenangan di sini.



Sebelum check-out hotel, kami membawa Haziq mandi di swimming pool untuk kali terakhir sebelum berangkat pulang. Kami berpuas hati dengan layanan mesra dan kemudahan-kemudahan yg terdapat di Hotel Grand Margherita ini.
Kami tiba di airport tepat pukul 1.30ptg. Selepas pulangkan kereta sewa, kami terus check-in dan menunggu di balai pelepasan. Terasa sayu seketika untuk pulang. Walaupun hanya 3 hari, kami amat seronok kerana dapat menjejakkan kaki di bumi kenyalang ini...